Tuesday, June 23, 2009

Ramai Yang Terkena Dan Tertipu.

Apalah sangat pengaruh dunia yang jijik dan hina ini bertukar menjadi mulia.
Bukankah Rasulullah S.A.W pernah bersabda 'Dunia itu ibarat bangkai, pemburu-pemburunya adalah anjing'. Dari sudut pandangan Allah dan Rasul, nilai dunia ini kalau dibandingkan nisbah akhirat langsung tidak ada apa-apa makna. Sebab itu Allah sebut di dalam Al-Quran 'Tidak ada kehidupan di dunia melainkan tipu daya semata-mata'.

Berapa banyak kita sudah kena tipu dengan dunia yang menipu? Ada yang menyangka, bila namanya terkenal dan popular, disebut dibibir-bibir manusia ataupun menjadi sebutan orang. menyangka hidupnya menjadi bahagia kerana manusia menyokongnya, minat padanya, bersimpati kepadanya.

Ertinya, bila manusia sudah ramai menyukainya, tak mungkin ada masalah lagi! Tak mungkin hati akan kecewa! Tak mungkin ada manusia yang tak suka kepada kita ketika itu boleh menjatuhkan kita. Atau bila kita sudah sampai dijulang, dipuji dan dipuja oleh manusia ketika itu, hidup menjadi puas sehingga apa yang kita hendak boleh kita perolehi?

Tetapi, apa yang kita sangka sungguhpun kita sudah capai apa yang kita citakan hingga menjadi buah mulut orang, itu sebenarnya meleset sama sekali! Hati makin kacau, gelisah dan gundah gulana. Malah sentiasa diburu rasa takut yang melemaskan. Kita sangka di waktu itu sepatutnya kuasa pengaruh manusia yang menyukai kita boleh menyelamatkan hati kita ketika hati kita merana. Ketika hati kita dirundung kecewa, putus asa bila ada manusia atau saudara rapat yang hampir dengan kita, malah yang kita sayang dan percaya berlaku khianat dan curang kepada kita.

Rupa-rupanya menuntut kasih sayang atau mengharap yang lebih dahsyat daripada haiwan yang tidak punyai akal. Kita cuba meminta pertolongan kepada manusia yang menyukai kita. Rupa-rupanya mereka juga memiliki hati yang dikecewakan oleh orang lain terhadap mereka seperti kita juga. Walaupun mereka ramai, mereka pun tidak boleh tolong kita mengatasi masalah yang kita hadapi, kerana mereka pun bermasalah juga. Hari-hari mereka pun turut bergelut dengan masalah yang biasa dan lazim yang menimpa pada seluruh manusia. Tak habis-habis dan tak mungkin mereka boleh menyelamatkan hati kita yang duka lara seperti mereka juga.

Ertinya, selama ini ramai yang suka kepada kita adalah orang yang kena tipu dengan dunia juga seperti kita dan senasib dengan kita. Mereka menyangka kitalah yang boleh menyelamatkan mereka, rupa-rupanya sandaran mereka kepada kita meleset sama sekali. Maksudnya, apa yang terjadi, mereka tertipu dengan kita dan kita tertipu dengan mereka.

Semua ini dipanggil 'Dunia Disalut Dengan Kebahagian Yang Menipu Daya'. Inilah yang dikatakan, bila kita buru dunia dan dapat dunia tetapi dunia itu tidak dapat memberi kebahagiaan kepada kita. Itulah yang dikatakan DUNIA TIPU KITA!

Apa pula nasib mereka yang buru dunia, dunia yang diburu langsung tidak dapat? Sudah tentu lebih kecewa dan menyeksakan.

Tertipulah SEMUANYA. Wallahualam.

No comments: